Pakatan Rakyat telah menggunakan sepenuhnya peluang mentadbir negeri-negeri mereka untuk 'mengajar' BN bagaimana untuk berkhidmat kepada Rakyat. Ketua Menteri Pulau Pinang Sdr. Lim Guan Eng telah menonjolkan contoh yang baik apabila melantik Dato' Lee Kah Choon sebagai Ketua syarikat dibawah kelolaan kerajaan negeri itu.
Pujian juga harus diberi kepada Dato' LKC kerana dapat melihat disebalik politik kepartian dan lebih melihat kepada memberi khidmat kepada rakyat di negeri tersebut.
Sebenarnya perlantikan wakil pembangkang kepada jawatan kerajaan bukannya perkara yang terlalu asing bagi suatu negara yang mengamalkan demokrasi. Beberapa tahun lepas dapat kita lihat kerajaan Jepun yang memerintah melantik seorang Speaker Dewan daripada kalangan pembangkang, tujuannya adalah untuk memastikan tiada elemen ketidakseimbangan berlaku.
Kesedaran dan perasaan ketidakseimbangan antara 'politik kepartian' dan 'kerajaan' inilah yang gagal dilihat pada kerajaan BN kini. Sebagai contoh, projek-projek kelolaan JKR perlu dilabel 'Projek Barisan Nasional' walhal JKR adalah sebuah jabatan awam di bawah kerajaan pusat, dan dana pembinaan tersebut diambil daripada kutipan cukai rakyat yang separuh daripadanya bukan daripada penyokong BN!
Jawapan Mentri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkenaan perbezaan jawatan politik beliau dan jawatan beliau sebagai Mentri Besar untuk semua (termasuk rakyat yang menyokong BN) menunjukkan kematangan beliau dalam berpolitik. Beliau dan Sdr. Lim Guan Eng sama-sama meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti mereka.
Seimbas sahaja dapat kita lihat betapa jahilnya politik BN apabila Azalina Said (yang kita tidak tahu sama ada dia 'Wanita' atau tidak - Rafidah Aziz) membatalkan MOU antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri di bawah naungan Pakatan Rakyat; di samping itu kita dapat lihat penubuhan jawatankuasa kerajaan pusat di peringkat negeri untuk menafikan dana yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri. Apakah BN sahaja yang layak, berkebolehan dan cukup integriti untuk memerintah? Bak kata Nabil Raja Lawak - LU PIKIR SENDIRILAH!
Sebenarnya kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat sengaja mahu menunjuk-ajar BN bagaimanakah caranya untuk mentadbir dengan adil dan beramanah. Justeru sejurus selepas PRU berakhir, tugas mereka untuk rakyat dan walaupun berbeda fahaman, keutamaan khidmat kepada rakyat dititikberatkan. Itulah sebabnya pekerja kerajaan dinamakan 'Civil Servants' dan bukannya 'Government Servants'!
Sebelum ini tiada seorangpun wakil daripada Pakatan Rakyat yang dijemput menganggotai mana-mana portfolio hatta daripada AJK daerah sehingga jawatan penting kerajaan. Malah peranan 'check and balance' tiada langsung sehingga mereka merasa bongkak dan over-confident. Pakatan Rakyat cuma mahu rakyat sedar bahawa kebajikan mereka melebihi segalanya - termasuk politik kepartian. Ini adalah kerana sekiranya politik kepartian diambil sebagai kayu-ukurnya, alamat politik balas dendam akan berleluasa dan rakyat secara langsung akan sengsara.
Saya mengesyorkan agar Pakatan Rakyat (termasuk Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad Said?) memfailkan satu tindakan undang-undang terhadap kerajaan pusat untuk mendapatkan deklarasi di Mahkamah Persekutuan yang menyatakan bahawa tindakan kerajaan pusat menubuhkan JK pusat di negeri Pakatan Rakyat sesuatu yang salah dari segi Perlembagaan Malaysia dan segala dana dikembalikan dengan segera.
Amir Hamzah bin Amha
http://puterabatu.blogspot.com
No comments:
Post a Comment