Monday, December 22, 2008

LAPORAN TANAH RUNTUH BUKIT ANTARABANGSA

Kerajaan Negeri Selangor telah menerima laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Jumaat lepas berkaitan status keselamatan bangunan dikawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Seterusnya kami telah membandingkan laporan tersebut dengan data dan pemantauan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini telah membolehkan Kerajaan Negeri meyediakan: pertama, satu usaha jangka panjang bagi penyelenggaraan kawasan cerun bukit di Selangor; dan kedua, satu sistem bantuan kepada semua mangsa kejadian tanah runtuh diBukit Antarabangsa.

i) Usaha penyelenggaraan cerun bukitKerajaan Negeri sedar keperluan usaha jangka-panjang bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa yang telah mengorbankan empat nyawa sementara satu masih hilang. Pemantauan agensi Kerajaan Negeri telah mengenalpasti kawasan cerun bukit diseluruh Ampang yang berisiko. Kawasan-kawasan tersebut adalah seperti berikut – mengikut DUN masing-masing:

DUN Bukit Antarabangsa
1. Bukit Antarabangsa2. UKAY Heights3. Taman Hijau4. Taman Hillview5. Dataran UKAY

DUN Hulu Kelang
1. Taman Malawati2. UKAY Perdana 3. Taman Kemensah

DUN Lembah Jaya
1. Taman TAR 2. Bukit Sungat Seputih

DUN Teratai
1. Bukit Teratai2. Bukit Permai3. Taman Saga4. Taman Mega 5. Bukit Segar

Kerajaan Negeri Selangor, melalui PBT, akan membuat pemantauan berterusan dikawasan-kawasan yang terlibat. Namun demikian, Kerajaan Negeri meminta Kerajaan Persekutuan, melalui JKR, untuk membuat kajian lebih menyeluruh dikawasan tersebut. Kami berpendapat penglibatan JKR adalah amat sesuai kerana jabatan itu mempunyai cawangan Kejuruteraan Cerun yang boleh membuat kajian yang lebih terperinci dan sekaligus merangka penyelesaian dengan lebih tepat.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengenalpasti beberapa daerah di Selangor yang mempunyai kebarangkalian untuk berlakunya tanah runtuh, iaitu: - Daerah Gombak- Daerah Hulu Langat- Daerah Hulu Selangor, dan - Daerah Petaling

Perlu diingatkan bahawa penjagaan kawasan cerun bukit adalah dibawah tanggungjawab pemilik tanah itu sendiri. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada semua pemilik tanah cerun bukit di Selangor untuk mengingatkan mereka akan tanggungjawab ini. Dengan itu, pemilik tanah akan mengambil kira risiko yang ada sebelum membuat keputusan membina bangunan diatas tanah cerun bukit. Kami juga akan mengumumkan kawasan tanah cerun bukit yang dimiliki Kerajaan Negeri dan anak syarikat dimana Kerajaan Negeri akan mengambil tanggungjawab penuh dalam penjagaan cerun bukit.

ii) Bantuan Khas Mangsa Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa

Mengikut maklumat kami, seramai 268 buah keluarga telah terlibat dalam kejadian tanah runtuh ini. Dari jumlah itu, 175 keluarga telah dibenarkan pulang setelah rumah mereka disahkan selamat untuk diduduki. Selain itu, 81 keluarga tidak dibenarkan pulang dan terpaksa menunggu sekurang-kurang sebulan untuk membenarkan penilaian struktur bangunan dan geo-teknik cerun diteruskan, manakala, 14 keluarga hilang tempat tinggal setelah banglo milik mereka musnah dalam tragedi ini.

Kerajaan Negeri amat faham kesukaran yang dialami kesemua 268 keluarga alami semenjak tragedi ini berlaku dua minggu dan telah mencuba memberi bantuan yang terbaik.Untuk semua 268 keluarga, Kerajaan Negeri akan memberi bantuan balik ke sekolah untuk anak-anak mangsa (dari pra-sekolah hingga Tingkatan 5) akan diberi baucer RM120 untuk pembelian beg, baju dan kasut sekolah. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah berbesar hati menaja bantuan baucer ini.

Selain daripada bantuan biasa itu, Kerajaan Negeri juga akan memberi bantuan RM500 sebulan selama tiga bulan kepada:- Kelurga yang berpendapatan RM1,500 ke bawah- Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang hilang upaya,Kepada 175 keluarga yang dibenarkan pulang, mereka akan diberi bantuan logistik bagi mengurangkan beban proses berpindah. Beberapa PBT telah dikerah menyediakan kenderaan bagi mengangkut barang kerumah masing-masing.

Sementara itu, satu unit perubatan Yayasan Amal akan beroperasi seminggu sekali selama sebulan di Kondominium Impian Selatan bagi mengurangkan beban penduduk. Untuk 81 keluarga yang tidak dibenarkan pulang kerumah, Kerajaan Negeri akan membiayai kos sewa rumah sehingga RM1,000 sebulan sekeluarga sehingga mereka dibenarkan pulang kekediaman masing-masing. Disini, PKNS juga telah menawarkan 14 buah rumah di Cheras untuk disewakan dengan kadar minima RM100 sebulan untuk 3 bulan pertama dan seterusnya RM500 setelah tamat tempoh 3 bulan tersebut.

Bagi 14 keluarga dimana rumah mereka telah ranap, Kerajaan Negeri menawarkan mereka membeli mana-mana rumah PKNS pada kadar 10-15% diskaun atau menyewa dimana-mana rumah yang disedikan PKNS pada kadar diskaun 50% bagi tempoh satu tahun. Pada keluarga yang kehilangan orang yang tersayang, Kerajaan Negeri akan memberi saguhati sebanyak RM5,000 sekeluarga. Tidak lupa juga pada mereka yang mengalami kecederaan, setiap daripada mereka akan diberi saguhati sebanyak RM1,500.

Kerajaan Negeri ingin nyatakan disini, semua bantuan khas ini mungkin tidak setimpal dengan apa yang mereka telah alami, tapi kami telah mencuba untuk membuat yang terbaik untuk semua pihak. Untuk penyelarasan bantuan-bantuan tersebut, satu pusat informasi disetiap kawasan yang terbabit iaitu Taman Bukit Mewah, Kondominium Impian Selatan, Taman Bukit Jaya dan Taman Wangsa Ukay, Jalan 11. Pusat-pusat ini akan mempunyai satu pejabat induk dibilik gerakan dekat dengan Surau Ad-Diniah.

Penduduk yang memerlukan mana-mana bantuan yang ditawarkan bolehlah mendaftar di pusat informasi dikawasan rumah masing-masing atau terus pergi kepejabat induk. Pusat-pusat ini akan beroperasi selama tiga hari mulai esok (Isnin, 22 Disember, 2008). Selain daripada itu, bantuan makanan dan penyelenggaraan serta pembersihan jalan-jalan akan diteruskan seperti biasa. Akhir sekali, Kerajaan Negeri ingin mengucapkan ribuan terimakasih kepada pihak tentera, polis, pihak PBT, pejabat ADUN, NGO dan semua pihak yang bekerja keras dalam usaha menolong dan menyelamat magsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Kami berdoa dan berharap tragedi sebegini ini tidak berulang lagi.

SEKRETARIAT AKHBAR PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: