Syahdu apabila Raja Katak (nama sebenar yang ada kaitan dengan yang masih hidup) merajuk sehingga tidak terpujuk apabila Duli Sultan Selangor tidak memperkenankan jemputannya untuk merasmikan perhimpunan extremis Melayu Malaya. Sehinggakan Raja Katak ini tiada arah yang lain, nak saman Sultan tak boleh, nak marah Sultan tak boleh, maka dia pun menjadikan akhbar The Sun sebagai Kambing Hitam dan terus menggugut untuk menyaman!
Kemudian pula kita lihat Mahafiraun (juga nama sebenar) tiba-tiba menjadi pengganti dan akan diraikan Raja Katak dengan sambutan penuh tradisi Pahlawan Melayu!
Saya tidak pasti sama ada kedahsyatan sambutan itu sama hebat seperti sambutan Anuar Musa menabalkan Tengku Ibrahim sebagai 'Sultan Kelantan' yang berdaulat pada 1993, ataupun sama meriah seperti kucupan kepada keris Panca Warisan oleh Hishammudin Auuwww (yang akhirnya tidak diteruskan kerana takutkan reaksi kaum Cina dan India).
Namun apa yang pasti, Duli Sultan melihat ada keperluan untuk baginda - selaku ketua negeri, agama Islam dan adat resam orang Melayu di Selangor - menyampaikan sokongan baginda tetapi baginda sangsi dan risau sekiranya kehadiran baginda akan disalahtafsirkan; bukan oleh golongan bukan Melayu tetapi oleh penganjur sendiri - contohnya Raja Katak yang dirisaunya akan mengisytiharkan bahawa kehadiran baginda adalah pengiktirafan bahawa orang bukan Melayu perlu berjaga-jaga dan jangan mempersoalkan ketuanan Melayu, kehebatan Melayu, Cina tak bagus, India tak bagus, bla, bla, bla...
Apa yang saya tak faham ialah si Raja Katak yang mengakui orang Melayu masih ketinggalan dalam segala aspek, tidak pergi cukup jauh untuk menghentam dan menghina UMNO yang sejak sebelum Merdeka lagi menjadi wadah dan 'pembela' orang Melayu.
Di dalam UMNO mentadbir negara dan orang Melayu selama 64 tahun sejak 11 Mei 1946, keupayaan orang Melayu dan keyakinan orang Melayu terhadap kebolehan diri sendiri semakin terhakis kini. Namun hujah 'kitar semula' masih digunakan. 'Melayu tidak bersedia', 'Nasib Melayu tidak dibela', etc. etc.
Hakikatnya anak Melayu kini berhadapan dengan keputusan peperiksaan yang merosot, digabung pula dengan anak Melayu yang sungguhpun mendapat tempat di IPTA, tetapi sejurus keluar sahaja mereka bergelumang pula dengan hutang PTPTN dan digabung lagi dengan pasaran kerja yang bergaji rendah, menyaksikan anak Melayu berhutang dan akhirnya bankrap.
Anak-anak Tan Sri, Dato-dato pula memenuhi senarai yang memohon ke MRSM dan IPTA dan ramai diantara mereka tidak layak sekiranya hendak dibandingkan menerusi merit. Sikap kerajaan yang menjadikan anak Melayu yang belajar sebagai sumber mencari keuntungan menyaksikan pembayaran balik PTPTN dikenakan 'caj pentadbiran' sebanyak 6 peratus atas baki berkurangan.
Riba? tetapi laman web PTPTN ada menunjukkan hadis dan nas Qur'an, apa kata kita namakan faedah 6% itu sebagai 'caj pentadbiran'? kita kan pandai boleh tipu tuhan... JAKIM boleh tolong kita berhujah di depan Al-Khaliq di Mahsyar nanti!
Ini baru hujah peringkat pendidikan. Dari segi penganugerahan kontrak pula, sehinggakan juak-juak UMNO dalam PKR pun mahukan habuan kemenangan. Daripada Zahrain kepada AJK Kuala Selangor, ramai yang masih ingat bahawa kemenangan Pakatan bermakna habuan yang lebih, bukannya perjuangan tanpa habuan untuk anak-anak dan keluarga.
Walhal hebatnya orang Melayu diperakui semua! sehinggakan tender terbuka di Pulau Pinang untuk pakej Insurans Komprehensif Hartanah PDC Negeri Pulau Pinang menyaksikan photo-finish sebuah syarikat 100% Melayu memenangi kontrak dengan perbezaan hanya RM0.08 dengan syarikat kedua! Syabas kepada Takaful Malaysia yang menidakkan sikap bertongkat!
(Sila lihat http://www.themalaysianinsider.com/index.php/opinion/breaking-views/54062-perbezaan-8-sen-lim-guan-eng)
Kepada Raja Katak, teruskanlah berjuang untuk memastikan orang Melayu terus bertongkat sampai bila-bila. Bila hujah 'Kitar Semula' ini digunakan secara menerus, dapatlah juga kita mengekalkan 'Divide and Conquer' aturcara UMNO dan BN sehingga kiamat. Dan akhirnya Melayu dapat tahu bahawa destini orang Melayu adalah untuk bertongkat dulu, kini dan selamanya.
Salam Reformasi!
No comments:
Post a Comment