Friday, December 3, 2010

Bai'ah kepada Pimpinan Terbaru PKR

Alhamdulillah! PKR telah selamat menjalani upacara pembersihan dan pemantapan dengan melihat barisan kepimpinan baru yang akan, insyaAllah, mengorak langkah ke Putrajaya.

Barisan kepimpinan ini mempamerkan campuran antara yang muda dan berdarah muda, kemungkinan besar daripada sifat ahli-ahli PKR yang sememangnya tiada yang tua!

Pemilihan 2010 memperlihatkan natijah daripada perjuangan dan kerja keras para calon; sama ada usaha mereka dilihat oleh para pengundi atau sebaliknya. Tidak dinafikan bahawa ramai yang mendabik dada merekalah yang bekerja lebih kuat, lebih hebat namun realitinya ternyata disini.

Terpulang kepada mereka yang kecewa sama ada untuk menerima kenyataan dan berjuang lagi ataupun menarik diri sambil melaungkan kezaliman berlaku.

Pemilihan 2010 juga menunjukkan bahawa kepercayaan kita kepada demokrasi tidak sia-sia. Sebelum ini, pelbagai persoalan diajukan. "Kalau kita silap pilih dan mereka ini sebenarnya musang berbulu ayam macam mana?" atau "nanti mereka yang buta politik nak memimpin parti macam mana?" atau "Nanti terpilih pula 'Trojan Horse' dalam parti". Ternyata semuanya tidak benar!

Setiap seorang yang dipilih ternyata adalah daripada golongan yang sememangnya taat kepada perjuangan. Daripada zaman getir PKR sehingga ke zaman kegemilangan, mereka inilah yang ada dan kepada merekalah masa depan Parti diserahkan.

Kami sebagai penyokong kecil PKR mengalu-alukan barisan kepimpinan baru PKR dan menyatakan penghargaan kepada Setiausaha Agung YB Saifuddin Nasution dan barisan JPP dibawah kelolaan Dr. Molly Cheah yang telah bertungkus lumus berusaha demi melihat pejuang negara baru dilantik.

Seperti biasa banyak kesilapan dan kekurangan namun Pemilihan 2010 boleh dijadikan kayu ukur untuk masa yang akan datang dan insyaAllah ia akan lebih lancar. Kontroversi akan berlaku dalam proses yang paling baik di dunia sekalipun dan cara berhadapan dengannya adalah penting di samping menyedari iktibar yang perlu diambil.

Saya memberikan Bai'ah dan Wala' kepada kepimpinan baru dan semoga Allah SWT merealisasikan doa saya untuk kezaliman dan ketidakadilan dihapuskan daripada negara tercinta bermula dengan penghapusan taghut UMNO dan Barisan Nasional.

Wabillahi Musta'an

No comments: