Imam al-Syafi'i Adalah Wahhabi? |
Hiasan-hiasan dikuburan seperti binaan kubah terutamanya di kuburan mereka yang di anggap sebagai para wali atau peneraju sesebuah tarekat merupakan satu perkara yang terima sebagai baik bagi pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Suasana yang kondusif ini amat bersesuaian untuk mereka melakukan ibadah-ibadah tertentu di kawasan perkuburan tersebut. Yang menghairankan Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menganjurkan ibadah-ibadah seperti tawassul, membaca al-Qur’an, tawaf atau menyembelih haiwan korban di kawasan perkuburan. Menurut Ibnu Taimiyyah r.h di dalam Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim: “Daripada al-Syafi’i sendiri tidak terdapat perkataan tentang masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahwa (baca al-Qur-an di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah.” Tambahan pula Imam al-Syafi’i sendiri melarang dinaikkan sebarang binaan di atas kubur. Menurut beliau di dalam al-Umm: “Saya menyukai agar kuburan tidak dibangunkan dan tidak pula dikapur kerana perkara ini menyerupai hiasan dan kebanggaan sedangkan kuburan bukanlah perhiasan atau bangunan yang dibanggakan; dan saya tidak melihat kuburan golongan muhajirin dan ansar (iaitu para sahabat Nabi) yang dikapur.” Imam al-Nawawi r.h pula di dalam kitab Majmu’ menyatakan: “Imam al-Syafi’i dan para sahabatnya mengatakan bahawa termasuk hal yang dibenci adalah menembok kuburan, menuliskan nama si mati atau yang lainnya dan juga membangunkan binaan di atasnya. Ini tiada perbezaan pendapat di kalangan kita. Dengan mazhab (pendapat) ini pula Malik, Ahmad, Daud dan majoriti ulama telah berfatwa.” Tetapi pandangan sebegini tidak boleh diajarkan kepada umat Islam di Malaysia kerana takut ia boleh mengelirukan orang awam walaupun tidak dapat dinafikan ia adalah pandangan Imam al-Syafi’i.
Memadailah dengan beberapa contoh di atas yang diketengahkan bukan bertujuan untuk mengeruhkan lagi suasana atau mengelirukan sesiapa. Tapi ia sekadar untuk mengingatkan kepada sesetengah pihak agar mengkaji terlebih dahulu perbezaan pendapat yang wujud di kalangan mazhab-mazhab dalam Islam sebelum menuduh seseorang itu terkeluar dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana tidak berpegang kepada mazhab Syafi’i. Walaupun seseorang itu pernah belajar dipondok mahupun lulusan dari Institut Pengajian Tinggi di Timur Tengah, ia tidak menjamin bahawa dia telah menguasai semua cabang ilmu. Qatadah pernah berkata: “Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf (perbezaan pendapat), maka dia belum mencium fikih (ilmu Fekah) dengan hidungnya.” Bila kefahaman tentang perbezaan pendapat yang ada dalam Islam ini tidak berada ditahap yang memuaskan, maka pandangan yang sebenarnya berasal daripada Imam al-Syafi’i turut dipolemikkan sebagai Wahhabi. Jangan nanti pandangan Imam al-Syafi’i terpaksa diketepikan demi untuk menjaga kesinambungan Mazhab Syafi’i versi Malaysia sebagai satu-satunya mazhab yang boleh diamalkan di negara ini. |