Sunday, November 29, 2009

Jawapan kepada Kaum Tua

Amat melucukan apabila melihat kepada standard penghujahan ‘sarjana’ Islam yang mengakui kesarjanaan mereka tanpa merasakan perlu mengaitkan penghujahan dengan memahami kaedah berhujah didalam Islam. Mereka ini termasuk pensyarah-pensyarah Islam yang mengajar anak murid tentang Islam dan Usul-Fiqh namun terlupa apa yang mereka ajarkan.


Didalam perdebatan Islam perlu ada sumber rujukan dan tatacara bagaimana harus kita gunakan rujukan ini (atau sumber Syari’ah mana yang perlu lebih diutamakan) dijawab dalam hadith berkenaan perlantikan Muadh bin Jabal sebagai Gabenor Yemen:


Selepas Rasulullah SAW melantik Mu’az bin Jabal sebagai gabenor Yemen, Baginda bertanya kepadanya: “Bagaimana (cara) kamu menetapkan hukum apabila dikemukakan suatu peristiwa ke hadapan mu?” Mu’az menjawab: “Akan aku tetapkan berdasar al-Quran.” “Jika engkau tidak memperoleh dalam al-Quran?” Mu’az berkata: “Akan aku tetapkan dengan sunnah Rasulullah.” “Jika engkau tidak memperoleh dalam sunnah Rasulullah?” Mu’az menjawab: “Aku akan berijtihad dengan menggunakan akalku dengan berusaha sungguh-sungguh,” kata Mu’az lalu Rasulullah menepuk dadanya dan berkata: “Segala puji bagi Allah yang memberi petunjuk petugas yang diangkat Rasulullah kerana dia berbuat sesuai dengan yang diredai Allah dan Rasul-Nya.”


(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmidzi)


Oleh yang demikian tahap rujukan mengikut orde kepentingan adalah 1)Al-Qur’an; 2)As-Sunnah 3)sumber-sumber yang lain. Dengan autoriti di atas, maka segala penghujahan yang menggunakan sumber yang lebih lemah harus diketepikan dan diutamakan pula yang lebih tinggi. Umpamanya menggunakan ucapan/ungkapan ulama’ dan mengangkatnya melebihi Al-Qur’an dan Sunnah. Sedangkan Imam As-Syafi’e sendiri pernah berkata:


“Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu.”


(Riwayat al-Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafie, Ibn Asakir, al-Nawawi di dalam al-Majmu’, al-Fullani, Ibn al-Qayyim, Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah dan Ibn Hibban di dalam sahihnya)


Alasan Islam perlu disesuaikan mengikut tempat dan keadaan adalah hina sama sekali! Bi’ah (suasana) dan ‘Urf (adat) tidak akan selama-lamanya menggantikan kedudukan Al-Qur’an dan Sunnah sebagai rujukan utama Syari’ah! Bahkan kedudukan kedua-duanya lebih rendah dan dibawah Ijma’ dan Qiyas.


Malangnya bagi umat Islam kini mereka lebih selesa dengan mengikuti amalan agama tanpa mempedulikan dari manakah sumber ajaran/amalan tersebut daripada sumber Islam di atas (taqlid). Mereka lebih suka mengikutinya atas dasar ‘kepercayaan dan amalan nenek moyang mereka’ yang secara kebetulan atau tidak sama dengan hujah para jahiliyyah yang tidak mahu menerima Islam waktu Rasulullah SAW dahulu!


Rasulullah SAW pernah bersabda dalam Khutbah Wida’nya:

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.


(Riwayat Muslim)


Oleh itu dan berpandukan kesemua autoriti diatas termasuk kata-kata agung Ulama’ agung Imam As-Syafi’e rahimahullah, maka kita hendaklah senantiasa mencari bukti daripada sumber Syari’ah tersebut sama ada ibadah yang kita lakukan kini bersesuaian atau tidak dengan Syari’ah. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan era teknologi IT yang membolehkan para ulama mencari dan membandingkan hadith dalam kitab-kitab hadith agar membolehkan mereka mencari kebenaran dan sumber yang membenarkannya.


Seorang daripada bekas guru saya ada menyatakan:

“Satu lagi panduan yang sangat utama dalam memilih kebenaran dalam agama adalah dengan kesetiaan dengan aliran arus perdana dan mengelakkan aliran-aliran yang Syaaz (ganjil, asing dan kontroversi)”


Bukankah ini bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-An’aam Ayat 116 yang menerangkan:

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.


(Al-Qur’an al Karim: Surah Al-Anaam, Ayat 116)


Biar bagaimana seluruh dunia pun mengaku mereka di pihak yang benar dan hanya seorang manusia yang memegang kepada Al –Quran dan hadith, maka seluruh dunia itu salah dan manusia itu dipihak yang benar dan dirahmati pula oleh Allah SWT!


Malah, sekiranya kita wajib mengikuti suara majoriti maka kita sepatutnya mengikuti ajaran Kristian yang mewakili lebih kurang 33% daripada penduduk dunia berbanding Islam yang hanya sekitar 22%. Tetapi tidak! Kerana mereka bukannya mengikut Al-Qur’an dan Hadith Rasulullah SAW.


Malah rujukan al-Qur’an yang durujuk pula oleh guru saya ini (An-Nisaa: 115) tidak langsung merujuk kepada keperluan mengikuti suara majoriti:

Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam Neraka Jahannam dan Neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.


(Al-Qur’an al Karim: Surah An-Nisaa, Ayat 115)


Perhatikan ungkapan ‘mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman’ tidak sekali-kali merujuk kepada keperluan mengikut suara majoriti! Bukankah mereka yang ‘beriman’ itu bermaksud taat kepada Allah SWT dan Rasulnya (SAW)? Dan bukannya mereka yang mereka-reka amalan songsang yang TIADA LANGSUNG buktinya daripada Al-Qur’an dan Sunnah? Apakah kita begitu biadap sehinggakan sanggup mengkhianati Rasulullah SAW? Apakah ajaran Rasulullah SAW tidak mencukupi sehinggakan perlu diada-adakan ibadah baru? Apakah Islam ini agama kita untuk diolah sesuka hati?


Sememangnya kini apabila amalan Sunnah Rasulullah SAW ditunjuk dan diajar maka ia akan dirasakan pelik mungkin sesat disebabkan betapa jauhnya kita daripada Islam yang SEBENAR – yakni yang diajar oleh Rasulullah SAW. Sebuah hadith Rasulullah SAW telah bersabda:

Sesungguhnya Islam dimulai dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana awalnya, maka thuuba (beruntunglah) orang-orang yang asing”

(HR Muslim)


Maksud ungkapan ‘asing’ di dalam hadith supra bermakna seorang muslim yang melaksanakan syariat Islam dengan sebenar-benarnya (mengikuti Al-Qur’an dan As-Sunnah) ketika masyarakat melupakannya.


Ahlus Sunnah adalah mereka yang menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah dalam seluruh perkara, baik dalam ibadah, perilaku, dan dalam segala bidang kehidupannya. Oleh kerana itu, biasanya mereka menjadi orang-orang yang dipandang asing di tengah masyarakatnya. Disebabkan amalan Ahlus Sunnah menghidupkan amalan Rasulullah SAW yang tidak diketahui oleh masyarakat kini atau menyalahi adat istiadat mereka (yang dikaitkan pula dengan Islam, maka mereka diasingkan.


Sememangnya para ulama menyifatkan Ahlus Sunnah dengan sifat keterasingan dan jumlah yang sedikit. Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah berkata kepada sahabat-sahabat beliau, “Wahai Ahlus Sunnah, lemah lembutlah kalian semoga Allah SWT merahmati kamu semua, kerana kamu semua termasuk orang-orang yang paling sedikit”. Yunus bin Ubaid rahimahullah berkata, ”Tidak ada satupun yang lebih asing dari As-Sunnah dan orang yang mengenalnya”. Sufyan At-Tsauriy rahimahullah berkata, ”Berbuat baiklah kepada Ahlus Sunnah karena mereka adalah orang-orang asing”.


Namun saya sedia terima hakikat bahawa perjuangan Kaum Muda untuk membanteras taqlid dan bid’ah oleh Kaum Tua ini akan berkekalan dan berlanjutan lamanya. Terus terang saya katakan bahawa kesemua hujah diatas hanyalah disampaikan oleh saya yang bukannya seorang ‘Alim, Ulama’, Pensyarah UIA mahupun bekas Presiden ABIM. Saya hanyalah insan biasa yang tidak berpengetahuan. Namun saya tidak akan redha kepada mereka yang sampai kepada mereka kebenaran dan mereka menafikannya dengan alas an yang remeh dan tidak berpaksikan pula kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah.


Rasulullah SAW pernah bersabda:

Dan pemberian ilmu kepada mereka yang tidak layak seumpama mengkalungkan berlian, mutiara dan emas ke leher khinzir!

(Riwayat At-Tirmidhi oleh Anas bin Malik)


Saya sudahi dengan firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui


(Surah al-Hujuraat, Ayat 1)


Saya memohon ampun dan maaf atas mana-mana kekasaran dan kesilapan yang telah saya lakukan dan semoga Allah SWT membawa kita kepada kebenaran.

2 comments:

anfield devotee said...

(*sorry off topic*)

The better team lost. Am not being magmanimous or anything, just that you lot were far better on the day.

We were utter rubbish.

However, having said that, am a bit pissed off that certain papers (eg The Guardian) have been sniping on about our lucky goal.

They seem to have forgotten about a certain beach ball . . .

Anyways, commiserations fer losing a dramatic & important derby game, dude.

Amir Hamzah said...

hey man, congratulations all the same. To be honest I didn't know we can play that well! if that can continue I think Everton has a chance of survival.

Got A LOT of stick from me office buddies - probably because I am the only Toffee they can think of.

Just saw Southampton on the telly just now and texted Nanda. The dude better had seen it as it doesn't come around too often!