Saya ingin menghulurkan salam takziah dan doa cepat sembuh kepada Mohd Azizi Aziz yang ditembak seekor konstabel Polis di Negeri Sembilan semalam.
Sungguh hebat konstabel itu yang dapat mengenai sasaran sekaligus dapat memberikannya 500 markah sepertimana dalam 'Video Game' yang berjudul 'Grand Auto Theft'.
Saya menyambut baik tindakan KP Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh yang memohon maaf kepada suspek dan keluarganya. Berbeza sungguh dengan si SAMSENG Khalid di Selangor!! Namun secara serius saya amat kecewa dengan sikap Polis dan disiplin anggota yang lemah dan bengap dan bersenjata api pula!
Timbalan Menteri Dalam Negeri Zainal Abidin Zin menyatakan bahawa jumlah kematian yang disebabkan Polis pada tahun 2000 ialah 33; 2001 - 14; 2002 - 54 dan sejak Januari 2003 - 27 kematian. Berdasarkan Badan Pemerhati Polis 'Police Watch' terdapat sekurang-kurangnya 29 kematian yang disebabkan tembakan Polis pada 2003. Dalam kebanyakan kes tersebut, alasannya adalah sama - penembakan beralaskan pertahan diri, di mana suspek menembak dahulu ke arah Polis dan Polis terpaksa membalas tembakan dan menyebabkan kematian suspek. KEMUDIANNYA suspek yang mati tersebut digambarkan sebagai 'Amat Merbahaya' dan 'Amat Dikehendaki' - Most Wanted' walaupun tiada maklumat sedemikian wujud sebelumnya.
Pada 2002 Timbalan Menteri Dalam Negeri Chor Chee Heung pula menyatakan di Parlimen pada April 2002 bahawa 579 suspek telah ditembak mati sepanjang 20 tahun daripada 1981 sehingga Februari 2002 atas pelbagai dakwaan daripada rompakan, kecurian, penculikan, kesalahan dadah dan lain-lain. Antara yang mati termasuk 82 orang asing. Sejumlah 19 anggota Polis pula mati pada jangka waktu yang sama. Ini bermakna lebih kurang 500 orang rakyat Malaysia mati disebabkan Polis sepanjang 20 tahun tersebut.
Tidak dinafikan bahawa kemungkinan kesemua yang dibunuh itu adalah dengan alasan yang wajar. Namun sistem untuk memastikan sama ada pembunuhan itu benar-benar adil tidak wujud. Sama seperti sistem keadilan untuk OKT (Orang Kena Tahan), tiada harapan untuk rakyat untuk memastikan OKT dilayan dengan baik dan adil walaupun diperuntukkan Undang-undang negara.
Sebagai teladan kita bersama, pada Oktober 2008 seorang pegawai polis di Brooklyn, Amerika Syarikat disyaki membunuh diri akibat daripada sesalan menyebabkan kematian seorang warga Amerika yang kurang siuman.
Leftenan tersebut (yang berada di tangga kecemasan pada gambar sebelah) dipukul dengan bulb lampu kalimantang oleh suspek yang bogel dan kurang siuman. Leftenan tersebut kemudian mengarahkan rakan sepasukannya menembak TASER kepada suspek berkenaan dan mengakibatnya jatuh dan suspek mengalami kecederaaan serius di kepala lalu mati di hospital.
Leftenan tersebut sepatutnya menyediakan alas yang tebal untuk mengalas jatuh suspek tersebut namun ia tidak dilakukan. Atas rasa bersalah itu beliau dikatakan membunuh diri.
Alangkah bagusnya sekiranya pihak PDRM mempunyai sifat sebegitu dan mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Jutaan ringgit digunakan untuk membantai rakyat dan mengaburi siasatan apabila Polis disyaki membunuh OKT.
Bilakah masanya rakyat Malaysia dapat menikmati pasukan Polis yang sayang kepada rakyat? yang tidak mahu melihat rakyatnya sakit atau terbunuh? mengapa Polis suka bantai rakyat?
PDRM sepatutnya lebih bertanggung-jawab dan meneliti semua aspek sebelum melepaskan tembakan. Setiap butir peluru perlu direkodkan dan dinyatakan sebab. Jika sebabnya lemah maka anggota tersebut hendaklah dikenakan hukuman yang berat. Ini adalah kerana sifat seorang anggota Polis yang dilatih khas untuk lebih berhati-hati, lebih bersedia dan lebih bersabar daripada rakyat biasa. Tahap kesedaran sememangnya perlu pada tahap yang lebih tinggi daripada yang Marhaen!
Statistik daripada Bahagian Keselamatan Awam (Dept of Public Safety) Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pada 2008 TIADA SATUPUN das tembakan dilepaskan oleh pihak Polis AS terhadap orang awam.
Polis Malaysia perlu sedar bahawa sikap mereka ini tidak akan menguntungkan mereka dalam apa aspek jua sekalipun kerana rakyat kini (1) takut; (2) tidak percaya; dan (3) tidak berharapan tinggi kepada pihak Polis.
Keadaan keselamatan yang sangsi kini menjuruskan Persatuan Tetangga di banyak kawasan-kawasan perumahan untuk memulakan 'masyarakat berpagar' atau 'gated-community' dan banyak pula syarikat perumahan yang menawarkan kediaman beraspek 'masyarakat berpagar' ini atas dasar keselamatan. Secara langsung, ini membuktikan bahawa Polis tidak boleh diharap untuk melindungi keselamatan rakyat.
Namun Rakyat dapat melihat pula kesungguhan pihak Polis dalam menggagalkan program dan ceramah Pakatan Rakyat. Unit FRU dan UTK siap bertopeng dan berkelengkapan lengkap tanpa segan silu memukul, memancut air kimia dan menerajang rakyat yang sememangnya tiada pertahanan. Di Kelantan, pihak UTK lengkap bertopeng menyerbu konvoi Baginda Sultan Kelantan dan menahan beliau daripada ke hospital. Perlukah semua ini??!
Sifat 'Hero' wayang gambar seperti inilah yang dikhuatiri telah merebak ke jiwa PDRM sepertimana yang mereka lihat pada kaca TV. Namun sayang, berbeza dengan yang ditayangkan, di dunia yang nyata ini setiap peluru yang dilepaskan boleh mengenai sasaran. Bukan seperti Tom Cruise, Nicholas Cage mahupun Harrison Ford yang boleh mengelak jutaan peluru!
Polis adalah pelindung rakyat. Polis bukan musuh rakyat. Biarpun rakyat emosi bagaimana cara sekalipun, pihak Polis perlu menunjukkan kematangan mereka dan bukannya menunjukkan gah mereka yang bersenjata api.
No comments:
Post a Comment